Wednesday, August 10, 2011

Kuku Tercabut!

Oleh Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak yang juga pemain bola sepak kebangsaan bawah 12 tahun, cedera empat jari tangan kiri, termasuk kuku pada jari manis tercabut selepas percubaan menghasilkan mercun dengan mencampurkan ramuan belerang dan karbaid ke dalam ‘starter’ (penghidup) lampu sebelum dinyalakan menggunakan sumbu, tiba-tiba meletup, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat, Mohd Nazirul Hasif Mailang, 12, dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, oleh bapanya, Mailang Sari, 38, untuk dirawat.

Bagaimanapun, Mohd Nazirul yang baru pulang dari Jepun, 27 Julai lalu selepas menyertai satu pertandingan, dibenarkan pulang ke rumah, semalam.

Menurutntya, sebelum kejadian, dia membeli mercun bola dan mengambil belerangnya untuk dicampur dengan karbaid dalam penghidup lampu kalimantang bagi menghasilkan mercun yang diletup menggunakan sumbu. “Sebelum ini, sudah tiga kali saya menghasilkan mercun itu dan berjaya, tetapi percubaan kali keempat tidak berjaya. Ketika mencucuh sumbu mercun itu, ia tiba-tiba meletup dan serpihannya terkena pada jari tangan kiri serta lengan.

“Ayah menghantar ke Hospital Tumpat untuk rawatan. Saya kemudian dirujuk ke HRPZ II, kira-kira jam 11 pagi, hari ini (semalam),” katanya yang mengakui serik.

Sementara itu, Mailang berkata, dia tidak menyedari anak sulungnya itu membuat mercun dan hanya mengetahuinya apabila terdengar letupan kuat di luar rumah.

Kes itu menjadikan Kelantan mencatat tiga kes kecederaan akibat bermain mercun dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Khamis lalu, seorang remaja, Nasrudin Mohd Nazli, 19, hilang tiga jari tangan kirinya dan cedera di muka selepas mercun bola yang dinyalakan ketika membonceng motosikal meletup di tangan sebelum sempat dilempar dalam kejadian di Kampung Dewan Beta, dekat sini.

Ahad lalu pula, pelajar tingkatan tiga, Nik Nurshazreen Nik Dzulhaimi, 15, putus saluran darah pergelangan tangan kiri akibat terkena serpihan mercun di Taman Anggerik, Kok Lanas.


* Siapa kata budak-budak Malaysia tak kreatif? Depa ni boleh diserapkan dalam tentera di Unit Membuat Bom. dapat jimatkan duit kerajaan beli bom dari luar.



No comments: